Pemprosesan

Pemprosesan Bahan

Ribu-ribu dipotong di bahagian pangkalnya. Cuma rakis utama yang diambil, yang lurus atau yang menjalar. Cabang-cabang yang tidak diperlukan, dipotong dengan pisau kecil. Kemudian ribu-ribu dibelah dua dan dikeringkan perlahan-lahan dengan menyidainya di tempat yang redup selama beberapa hari. Ini dilakukan untuk memastikan ribu-ribu tidak rapuh atau mudah patah. Menganyam ribu-ribu sama seperti menganyam buluh dan mengkuang. Untuk mengukuhkan anyaman, biasanya buluh atau rotan digunakan sebagai tulang atau kerangka barang yang dihasilkan. Motif-motif yang kerap digunakan dalam anyaman ribu-ribu ialah siku keluang, bentuk jaluran dan bentuk-bentuk geometri. Biasanya, barang-barang yang dianyam mengekalkan warna asli ribu-ribu. Bagaimanapun, perbezaan warna boleh dihasilkan iaitu dengan menyelang-nyelikan warna luar kulit yang lebih gelap iaitu coklat tua, dengan warna dalam kulit, coklat muda.